;

Thursday, 29 March 2012

Pegertian AS-Sunnah

Thursday, 29 March 2012

Sunnah menurut bahasa: ialah jalan yang dilalui sama ada terpuji atau
tidak; juga suatu adat yang telah dibiasakan walaupun tidak baik. Rasul
SAW bersabda:

"Sungguh kamu akan mengikuti sunnah-sunnah (perjalanan-perjalanan) orang
yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta
sehingga sekiranya mereka memasuki lubang dab (serupa binatang biawak)
nescaya kamu memasukinya juga." (Hadith riwayat Muslim)

"Barangsiapa menjalani suatu sunnah (perjalanan) yang baik, maka baginya
pahala sunnah itu dan pahala yang mengerjakan dengannya hingga hari
qiamat, dan barangsiapa mengadakan suatu sunnah (perjalanan) yang jahat
(buruk) maka atasnya dosanya dan dosa orang yang mengerjakan dengannya
hingga hari qiamat." (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)

Jelaslah bahawa menurut hadith tersebut, perkataan sunnah itu diertikan
dengan perjalanan, sama ada baik atau pun yang jahat, sebagaimana yang
dimaksudkan oleh bahasa.

Sunnah menurut istilah ahli hadith: ialah segala yang dipindahkan dari
nabi sallallahu 'alayhi wa sallam baik yang merupakan perkataan,
perbuatan, mahupun yang merupakan taqrir, sebelum nabi dibangkitkan
menjadi rasul, mahupun sesudahnya. Kebanyakan ahli hadith menetapkan
bahawa pengertian yang demikian sama dengan pengertian hadith.

Sunnah menurut pengertian dan istilah ahli usul: ialah segala yang
dipindahkan dari nabi sallallahu 'alayhi wa sallam sama ada perkataannya
dan perbuatannya, mahupun taqrirnya yang bersangkutan dengan hukum.
Inilah pengertian yang dimaksudkan oleh sabdanya ini:

"Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara tidak akan kamu
sesat selama kamu berpegang dengan keduanya: iaitu Kitab Allah dan
Sunnah Rasulnya". (Hadith riwayat Malik)

1.      Contoh sunnah (hadith) perkataan ialah:

"Segala 'amal itu dengan niat." [Riwayat Bukhari, Muslim dan sekelian
ulama' hadith]

2.      Contoh sunnah (hadith) perbuatan ialah:

"Bersembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersembahyang."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

3.      Contoh hadith (sunnah) taqrir. Taqrir ialah: (a) Nabi SAW
membenarkan apa yang diperbuat oleh seorang sahabat dengan tidak
mencegah atau menyalahkan serta menunjukkan keredaannya; (b) menerangkan
kebagusan yang diperbuat itu serta dikuatkan pula.

Contoh yang pertama ialah sebagaimana Nabi saw membenarkan ijtihad para
sahabat mengenai urusan sembahyang 'Asar di Bani Quraizah dengan
sabdanya:

"Jangan bersembahyang seorang kamu melainkan di Bani Quraizah." [Riwayat
Bukhari]

Sebahagian sahabat memahamkan perkataan itu menurut hakikat larangannya
lalu menta'khirkan sembahyang 'Asar itu sampai selepas Maghrib. Dan ada
sebahagian yang lain tidak memahamkan demikian, mereka memahamkan bahawa
yang dimaksudkan nabi bercepat-cepat pergi ke Bani Quraizah. Kerana itu
mereka mengerjakan sembahyang 'Asar pada waktunya, sebelum tiba ke Bani
Quraizah.

Kedua-dua perbuatan sahabat yang berlainan oleh berlainan ijtihad sampai
kepada Nabi saw beritanya, dan Nabi saw tinggal berdiam diri tidak
membantah apa-apa.

Contoh yang kedua sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Khalid bin Walid
pernah memakan dab (serupa binatang biawak) kemudian dikemukakan orang
kepada Nabi saw. Nabi saw sendiri enggan memakannya, maka bertanya
sebahagian sahabat:

"Adakah diharamkan makannya ya Rasulullah? Lalu ia bersabda: Tidak! cuma
binatang itu tidak ada di negeri kaumku, kerana itu aku tidak gemar
kepadanya."

Selanjutnya pernah juga dinamakan sunnah itu suatu yang ditunjuki oleh
dalil syara', baik berdasarkan dalil Qur'an atau pun berdasarkan hadith,
mahu pun berdasarkan ijtihad para sahabat, seperti mengumpulkan mashaf
(Qur'an) dan menyuruh manusia membaca menurut suhuf 'Uthman, dan seperti
membukukan ilmu (menyusun dan mengarangnya).

Lawan dari sunnah ini ialah bid'ah, inilah yang dimaksudkan oleh hadith:

"Berpeganglah kamu sungguh-sungguh dengan sunnahku dan sunnah
khalifah-khalifah yang mendapat pertunjuk sesudahku." [Abu Daud &
Tarmizi]

Sementara itu ulama' fiqh berpendapat, bahawa suatu yang diterima dari
Nabi saw dengan tidak difardukan dan tidak diwajibkan dinamakan sunnah.
Imbangannya ialah wajib, haram, makruh dan mubah. Lawannya ialah bid'ah;
talak yang dijatuhkan dalam haid menurut mereka dinamakan: talak bid'ah.

Ulama' Syafi'e mengatakan bahawa sunnah itu: ialah suatu yang dipahalai
orang yang mengerjakannya, tidak disiksai orang yang meninggalkannya.

Menurut ulama' mazhab Hanafi, sunnah itu: ialah suatu yang disunnahkan
Nabi saw atau para khalifah serta dikekalkan mengerjakannya, seperti
azan dan berjama'ah.



WALLAHU a'lam bishawab

to-assunnah - 02:56

0 comments:

Post a Comment